Gantian Cuti Rehat (GCR) Terkini | Cara Mohon & Kelayakan

Penyelarasan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) selama 90 hari dan tempoh pengumpulan GCR hingga 180 hari telah dijelaskan dalam pekeliling terbaru tahun 2023.

Seterusnya, kami ingin berkongsi maklumat tambahan mengenai Gantian Cuti Rehat (GCR) 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Apa Itu Gantian Cuti Rehat (GCR)?

apa itu gantian cuti rehat gcr

GCR merupakan satu faedah yang disediakan oleh kerajaan dalam bentuk ganjaran wang tunai yang diberikan kepada Penjawat Awam yang tidak dapat menggunakan cuti rehat mereka kerana tuntutan perkhidmatan.

Jumlah GCR akan dikumpulkan pada akhir tahun berdasarkan jumlah cuti rehat yang layak diberikan pada tahun tersebut.

Sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan jasa anggota penjawat awam, Kerajaan telah bersetuju untuk:

  • Menambah kadar maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari;
  • Membenarkan penjawat awam menggunakan GCR yang dikumpulkan melebihi 180 hari sebagai cuti rehat pada tahun persaraan; dan
  • Mengubah Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR daripada 80 hari kepada 90 hari.

Pindaan ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 dan boleh dirujuk di dalam Surat Edaran JPA/PEN/228/26/6-13 Jld.5(29) atau laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (https://www.jpa.gov.my/surat-edaran/tahun-2023/3015-surat-edaran-kenaikan-kadar-gcr-dan-pemberian-awal-award-wang-tunai).

Sila rujuk pautan berikut untuk maklumat lanjut dan perincian:

  • Pindaan pada Ceraian PP.1.3.1 (m/s 54): Pemberian Award Wang Tunai GCR (https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PP/pencen/). Pindaan yang mengumumkan peningkatan had maksimum pengumpulan GCR dari 160 hari kepada 180 hari.
  • Pindaan pada Ceraian PP.1.3.3 (m/s 61): Kebenaran GCR Melebihi 180 Hari Digunakan Sebagai Cuti Rehat Pada Tahun Persaraan (https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PP/pencen/). Pindaan yang mengumumkan kebenaran GCR yang dikumpul melebihi 180 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.
  • Pindaan Ceraian PP.1.3.4 (m/s 64): Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR (https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PP/pencen/). Pindaan yang mengumumkan pemberian awal award wang tunai GCR kepada 90 hari.

Penjawat Awam boleh memohon untuk Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR (jika memenuhi syarat).

Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR yang diterima akan tertakluk kepada cukai pendapatan mengikut pendapatan semasa di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Cara Kira Gantian Cuti Rehat Penjawat Awam

Pengumpulan cuti untuk tujuan Gantian Cuti Rehat adalah tertakluk kepada Peraturan 21(1) Peraturan Pencen 1980, Perintah Am Bab C, dan Pekeliling Perkhidmatan yang berkuat kuasa.

Pengiraan Anugerah Gantian Cuti Rehat dilakukan mengikut formula berikut: 1/30 x [Gaji terakhir + Imbuhan Tetap] x jumlah GCR.

Jabatan atau pegawai boleh merujuk kepada Panduan Pengurusan Gantian Cuti Rehat Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam.

Syarat Kelayakan Gantian Cuti Rehat (GCR)

syarat kelayakan gantian cuti rehat gcr

Pegawai yang memilih untuk menyertai Skim Pencen atau Skim KWSP layak untuk membuat permohonan dengan SYARAT berikut:

  • Tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 15 tahun.
  • Sudah mencapai umur 45 tahun pada masa permohonan dibuat.
  • Jumlah GCR yang terkumpul sekurang-kurangnya 90 hari.
  • Bebas daripada sebarang tindakan jenayah atau pelanggaran tatatertib.
  • Memperoleh pengesahan daripada Ketua Jabatan.

Cara Mohon GCR Terkini

cara mohon gcr terkini

Permohonan untuk mendapatkan Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR perlu diajukan melalui Ketua Jabatan dan kemudian diserahkan kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Prosedur permohonan bagi Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR dijelaskan secara terperinci dalam Dokumen PP.1.3.4: Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR (m/s: 64) (https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PP/pencen/).

Borang Permohonan untuk Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR boleh didapati untuk dimuat turun di laman web di bawah ini.

Pegawai perlu membuat permohonan melalui HRMIS dan mencetak Borang Lampiran A yang dihasilkan oleh HRMIS.

Ketua Jabatan perlu meluluskan permohonan melalui HRMIS serta menandatangani Borang Lampiran A yang telah dicetak.

Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan ini termasuk:

1. Satu salinan rekod kenyataan perkhidmatan yang telah dikemaskini.
2. Satu salinan kenyataan cuti.
3. Dua salinan penyata kiraan cuti.
4. Satu salinan kad pengenalan.
5. Satu salinan surat permohonan pesara atau waris.

Dokumen-dokumen ini perlu diserahkan sekaligus dengan dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan urusan persaraan dan pencen, paling lambat tiga bulan sebelum tarikh persaraan.

Semua dokumen permohonan untuk mendapatkan pemberian awal award wang tunai GCR yang telah disahkan perlu dihantar melalui Ketua Jabatan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA.

FAQ GCR

Apakah yang dimaksudkan pemberian awal award wang tunai GCR?

Pemberian awal award wang tunai GCR adalah inisiatif yang membenarkan seseorang pegawai menukar jumlah GCR yang telah dikumpulkan kepada wang tunai semasa dalam perkhidmatan, tertakluk kepada syarat syarat yang ditetapkan.

Bagaimanakah pengiraan pemberian awal award wang tunai GCR ini dilaksanakan?

Pengiraan pemberian awal award wang tunai GCR menggunakan formula yang sama bagi pengiraan GCR apabila seseorang pegawai bersara.

Pengiraan pemberian awal GCR akan mengguna pakai gaji hakiki bulanan yang diterima termasuk apa-apa elaun dan imbuhan tetap yang ditentukan oleh Kerajaan yang boleh diambil kira bagi maksud pembayaran award wang tunai tetapi tidak termasuk elaun berpencen.

Adakah saya dibenarkan membuat pemberian awal award wang tunai lebih/ kurang daripada 80 hari?

Tidak boleh. Jumlah GCR yang boleh diberi awal bagi tujuan award wang tunai GCR adalah 80 hari sahaja.

Contoh:

(a). Pegawai telah mengumpul GCR sebanyak 85 hari dan telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk pemberian awal award wang tunai GCR. Pegawai hanya layak menebus sebanyak 80 hari sahaja; dan

(b). pegawai telah mengumpul GCR sebanyak 75 hari. Oleh itu, pegawai tidak layak membuat permohonan pemberian awal award wang tunai GCR kerana tidak memenuhi syarat kelayakan seperti yang dinyatakan pada soalan no. 5.

Bolehkah permohonan pemberian awal award wang tunai GCR saya diluluskan lebih daripada sekali?

Tidak boleh. Kelulusan pemberian awal award wang tunai GCR hanya sekali sahaja sepanjang perkhidmatan.

Adakah saya akan dibayar jumlah GCR 160 hari apabila bersara, walaupun telah mendapat kelulusan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari?

Tidak. Pembayaran GCR apabila bersara kelak adalah berasaskan kepada baki jumlah GCR yang telah dikumpulkan, terhad kepada jumlah keseluruhan 160 hari sepertimana yang dinyatakan dalam Ceraian PP.1.3.1.

Contoh:
Pegawai telah mengumpul cuti rehat sebanyak 85 hari dan telah
diluluskan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80
hari.

Pembayaran GCR kepada pegawai apabila bersara kelak
terhad kepada maksimum 80 hari sahaja lagi semasa persaraan.